Tuesday 10 September 2013

"Ayat Menari"-Lelaki

"Malam belum cukup malam kalau ada lampu terang,
dan cinta belum cukup cinta kalau bukan kau sebagai bintang."

Itu.
Ayat yang menari. Meniti rapat di tepi bibir yang diketap.
Sumpah.
Itu, ayat yang menari.
Tapi cuma dan hanya cuma menari di situ dan sikit pun tak dapat aku titipkan pada kau.
Apatah lagi disenandungkan sebagai lagu malam. Segalanya terasa seakan cukup bangsat untuk aku pada waktu itu. Bangsat kerana tersepit-sepit di celah sesuatu yang masih belum pasti; belum termeterai.
Tingkah aku pada waktu itu cukup bersahaja.  Atau mungkin aku sengaja sahajakan agar tak kelihatan terlalu kekok.

Sesekali mata aku menjeling ke arah kau sekadar untuk melihat kalau-kalau ada senyum yang terbingkai di bibir. Dan sesekali tangan kau aku genggam erat sekadar untuk tahu kalau-kalau kau membalas genggaman itu. Sekadar untuk tahu kalau-kalau genggaman itu juga cukup erat.

--Kita nak ke mana? Tanya kau sejurus kita mula melangkah meninggalkan tempat di mana kita berdiri.
--Bawa kau pergi tempat tu. Balas aku dengan ringkas.
--Ke mana? Tanya kau lagi.
--Bawa kau ke masa depan. Masa depan kita berdua. Jawab aku sambil tersenyum.  Langkah aku dan kau sama laju, sama perlahan. Dan tangan kau, masih aku genggam. Lepas rindu, mungkin. Dan setibanya kita di tempat yang aku janjikan pada kau tadi, aku pantas menyerahkan tangan kau pada seorang lelaki. Lelaki yang aku sendiri masih belum kenal. Tapi yang aku tahu, lelaki itu bukan aku. Dan lelaki itu adalah bakal cinta hati kau.

--Genggam sepertimana aku genggam. Jangan lepaskan sepertimana aku lepaskan. Kata aku pada lelaki itu sebelum aku berlalu perlahan, meninggalkan.

"Sumpah. Itu, ayat yang menari.
Dan sumpah, kau pernah berada di hati."

No comments: